UNITEN Staff

PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini memberi idea kepada sekumpulan sukarelawan yang lebih dikenali dengan panggilan UNITEN Face Shield Team untuk tampil memberikan sumbangan buat petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka. Semangat bersatu hati yang jitu para sukarelawan ini akhirnya berjaya merealisasikan projek yang telah diketuai oleh Profesor Ir. Dr. Izham Zainal Abidin, Dekan Kolej Kejuruteraan dalam penghasilan pelindung muka. Hal ini juga bertujuan untuk menjalankan tanggungjawab sosial disamping dapat mengekspresikan rasa prihatin terhadap pandemik Covid-19 yang melanda negara.

 

Sejak awal April lalu, pasukan itu bertungkus lumus menghasilkan pelindung muka dengan berbekalkan dana yang telah disumbangkan oleh warga UNITEN. Menurut Dr. Izham lagi, pelindung muka yang dihasilkan UNITEN juga mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),sekali gus sebagai langkah perlindungan keselamatan dan memastikan barisan hadapan menggunakan produk yang berkualiti bagi mengelakkan mereka terdedah secara langsung dengan virus Covid-19. Selain itu, 3 buah unit mesin pencetak 3D digunakan untuk tujuan yang sama, di mana mesin ini mempunyai kapasiti penghasilan 20 unit pelindung muka sehari.

 

Salah seorang pengusaha projek, yang juga merangkap pensyarah di UNITEN, Iszmir Nazmi turut berkongsi kejayaan beliau dan ahli kumpulannya menerusi platform media sosialnya iaitu Facebook.”Salah satu inisiatif daripada UNITEN Face Shield Team yang terdiri daripada pensyarah, juruteknik dan pelajar Kolej Kejuruteraan UNITEN untuk menghasilkan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan. Terima kasih kepada warga UNITEN yang telah memberi sumbangan untuk membeli bahan mentah serta jabatan/unit bisnes lain yang telah memberi kerjasama membantu melicinkan perjalanan projek ini” ujarnya. Kata-katanya menerusi platform mayanya itu meraih perhatian pengikutnya berkenaan dengan kehebatan dan kepakaran pasukannya dalam berusaha menangani pandemik ini. Beliau juga turut menggunakan hashtag #StayAtHome, #DudukRumah dan #BreakTheChain sebagai tanda sokongan kepada para pejuang negara.

Bagi memastikan dana yang disalurkan pelbagai pihak telus dan sampai kepada entiti yang memerlukan, pertubuhan itu telah menyumbangkan sebanyak 90 unit kepada komuniti Team Face Shield Kajang-Bangi yang disempurnakan oleh Naib Canselor UNITEN, Profesor Dato’ Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha baru-baru ini.
Antara syarikat yang bekerjasama dengan UNITEN Face Shield Team ialah syarikat RcBotz Engineering yang dimiliki oleh dua siswazah UNITEN iaitu saudara Muhammad Husni Faiz Khamarudin dan Muhammad Fahmi Abdul Ghani. Pasukan UNITEN Face Shield bergabung tenaga dalam melancarkan urusan pengagihan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan bersama syarikat RcBotz yang merupakan wakil daripada komuniti Team Face Shield Kajang-Bangi. Pasukan ini kemudian akan mengagihkan pelindung muka kepada hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya.
Untuk projek selepas ini pasukan ini menyasarkan sebanyak 1000 unit pelindung muka yang dapat dihasilkan dalam tempoh sehari.

 

Syaza Nur Adilah

0 Shares

Leave a Reply